Monday, December 24, 2012

Perhati saja

Sudah berbulan lamanya aku tinggalkan ruangan ni.
Walaupun sebenarnya ada banyak benda, cerita dan peristiwa yang boleh aku kongsikan sepanjang tahun 2012 ni, tapi aku biarkan saja..
Aku tak larat...
Jadi tak larat sebab letih menghadap hari-hari yang penuh dengan kerja, hal-hal kehidupan dan sebagainya.

Jadinya..
bila semua anggota badan letih, otak aku pun jadi tak membantu dalam memberi idea penulisan dan juga penceritaan.
Maka aku kira adalah lebih baik aku mendiamkan diri, dan biarkan saja ruang ini terus sepi macam tak bertuan...
A'ah.. memang pun telah jadi 'umpama tak bertuan' itu. Serious!

Aku jadi pemerhati dan pendengar saja dalam setiap perkara,
Angguk dan geleng kepala..,
senyum, geleng kepala dan angguk lagi.
Ahh.. macam-macam benda tentang hal, dan perilaku dunia.




Saturday, March 31, 2012

Misi selesai.

Maka tamatlah sepenuhnya penggambaran drama episode yang bertajuk 'Cinta dalam hati'...
Setelah hampir 4 minggu berhempas pulas mengabdikan watak 'Dino Abadi' dalam diri,
sekarang aku bebas,
bebas sepenuhnya.
Fuhh... lega!
Baru rasa macam boleh bernafas sedikit..

Aku tak nafi, memang penggambaran kali ini dilakukan dengan secara tergesa-gesa,
berikutan jadual setiap pelakon dan semua tenaga kerja yang terlibat telah padat untuk bulan yang berikutnya.
Maka itu, kami perlu menyelesaikan projek ini mengikut waktu yang telah dihadkan,
iaitu pada penghujung Mac.
Begitulah nasib kais pagi makan pagi.

Drama ini telah melibatkan banyak lokasi, dan yang jauh-jauh ratanya,
dari Kuala Lumpur, Hulu Langat, Port Dickson sehinggalah ia membawa kami semua ke kampung Sungai Rambai di Melaka.
Itu sudah cukup untuk membuatkan kami semua lelah mengejar masa,
ditambah pula dengan cuaca yang sering tidak menentu buat ketiga-tiga negeri ini,
menyebabkan risau dibenak kepala selalu menular, takut jikalau tidak dapat menepati masa yang telah termaktub.

Namun..
Alhamdulillah.. kami telah berjaya menyiapkan 'Cinta dalam hati' mengikut seperti yang dirancang,
tapi bila aku mengenang kembali cara kami semua bekerja  didalam projek ini,
aku boleh tersenyum seorang diri bila teringatkan keletah setiap dari kami yang terlibat dalam soal mengejar masa.
ada manis, ada pahit.
ianya umpama seperti sedang menyelesaikan misi didalam 'Amazing Race' show.
heh..
Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan baik dan lancar pada proses yang terakhir untuk drama ini nanti.

Friday, March 16, 2012

Masa

Rasa macam dah lama sangat aku tak update blog ni, berminggu-minggu juga la rasanya..
nak buat macam mana, aku sibuk sangat.
Sibuk dengan drama 'Cinta dalam hati', sibuk menyiapkan fizikal untuk projek filem yang akan datang pertengahan bulan april nanti. Hmm..

Masa aku sangat terhad buat masa sekarang, lepas habis 'shooting' langsung terus ke gym, walaupun dalam keadaan kaki yang terhencut-hencut, terseliuh.
Lepas 'workout' di gym, balik rumah terus tertidur, letih sangat.

Memang sepatutnya aku berehat saja di rumah lepas waktu penggambaran bila sakit-sakit macam ni,
tapi bila mengenangkan tanggungjawab untuk watak yang kena bawa bulan depan,
rasa bersalah pula kalau lebih memikirkan sakit daripada tanggungjawab.

Memang aku dah dididik dengan cara macam ni dari kecil,
orang tua aku pun selalu pesan "jangan dimanjakan sangat kesakitan..",
Alhamdulillah.. aku pun memang selalu pratikkan pesanan orang tua aku tu, dan hasilnya...
Tuhan itu maha adil, ada bayaran dalam setiap pengorbanan, aku percaya itu tapi tidak selalu mengharapkan.

Rasa macam dah lama sangat tak balik ke Melaka, rindu dengan bau kampung halaman.
Mak pun dah berkali-kali tanya "bila nak balik?", hmm....

Friday, March 2, 2012

Cinta dalam Hati



'Cinta dalam hati...',
Projek terbaru dan drama bersiri aku yang pertama untuk tahun 2012,
drama ini akan ditayangkan di saluran RTM.

Rasa macam dah lama sangat tak bekerjasama dengan RTM.
Kali terakhir aku menyumbangkan tenaga kerja bersama mereka adalah pada awal tahun 2011, itu pun sekadar drama cereka (Telemovie).
Kali ini aku berpeluang untuk terus menyumbangkan karya dengan mereka,
dan pada kali ini juga untuk satu durasi yang agak panjang, 13 episode.

Aku suka naskah ini,
aku suka pada jalan cerita, konflik dan setiap watak yang ada didalamnya.
Walaupun pada awalnya aku merasakan bahawa naskah ini cuma biasa-biasa saja pada ketika membaca sipnosis, tapi hakikat yang sebenar..
Setelah selesai membaca dan meneliti setiap babak dan helaian episode nya,
aku merasakan sesuatu tentang naskah ini.
Ianya lain.

Ye... ini mungkin cerita biasa, sama seperti drama-drama yang sedia ada di kaca TV.
Apa lagi yang boleh kita jangkakan daripada drama-drama melayu?
membikin drama TV tidak seperti menghasilkan filem-filem seni.
Tapi 'lain' yang aku maksudkan dari naskah ini adalah dari segi pengisian dan kekuatan jalan ceritanya sebagai sebuah drama TV.

Ketika aku membaca penulisan dan penceritaan Mira Mustafa didalam naskah 'Nur Kasih' (series),
perasaan dan hati aku sering dibuai dengan setiap permainan dan babak-babak yang dicipta Mira,
penulisannya berjaya mencuri tumpuan aku untuk terus mendalami dan menghayati setiap babak,
hingga membuatkan aku terperangkap didalam roh dan emosi watak 'Adam hassan' dan juga cerita itu sendiri.
Terdetik dalam hati aku pada ketika itu mengatakan bahawa naskah itu adalah 'sesuatu',
dan aku percaya ia akan menjadi 'sesuatu' juga.

Sekarang aku merasakan perkara yang sama,
'Cinta dalam hati' membuatkan aku tidak sabar untuk menjadi 'Dino Abadi' setiap hari,
aku menjadi rindu pada watak itu, aku kasihankan watak itu.
Ah.. gila!


Aku bukan setakat tidak sabar untuk menjadi 'Dino Abadi',
malah aku juga tidak sabar untuk menjalani hari disamping watak-watak yang lain.
Menghadap situasi dan masalah dari setiap watak yang wujud.

"Dino, seorang penulis skrip yang menetap jauh dari bandar, tidak boleh melupakan bekas kekasihnya arwah 'Munira'. 'Munira' meninggal dunia akibat barah paru-paru.
'Dino' mahu menunaikan janjinya terhadap 'Munira' walaupun wanita itu telah tiada.
Kematian 'Munira' meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri 'Dino'.

'Mak Yam', ibu kepada arwah 'Munira' amat terharu dan serba salah terhadap 'Dino',
'Dino' sanggup menghambakan diri untuk menjaga 'Mak Yam' setelah pemergian 'Munira',
'Dino' bekerja keras dengan membantu menguruskan tanah kebun dan sawah milik 'Mak Yam' untuk wang perbelanjaan 'Mak Yam'.
Dia juga sanggup berhabis duit untuk mengubati penyakit dan menjaga 'Mak Yam'.
'Mak Yam' merasakan perbuatan 'Dino' itu umpama menyeksa diri 'Dino' sendiri.

'Dino' telah menulis sebuah skrip yang berjudul 'Cinta dalam hati',
skrip yang mengisahkan perjalanan hidupnya bersama arwah 'Munira',
dia juga telah berjanji kepada arwah 'Munira' untuk membeli sebuah mesin 'Hemodialisis' untuk 'Mak Yam' dan juga orang-orang kampung.

'Cinta dalam hati' adalah janji 'Dino' kepada arwah 'Munira'.
'Cinta dalam hati' adalah kisah hidup antara 'Dino' dan 'Munira',
'Cinta dalam hati' adalah harapan 'Dino' terhadap orang-orang kampung.

Akan tetapi, seorang penerbit muda bernama 'Rio' telah mengambil kesempatan keatas skrip yang ditulis oleh 'Dino'.
'Rio' telah menggunakan 'Cinta dalam hati' untuk kepentingan dirinya sendiri.
'Rio' juga menjadikan hidup 'Dino' bertambah tak keruan dgn ugutannya apabila seorang pelakon popular bernama 'Irama', wanita yang dicintai 'Rio' mula jatuh hati kepada 'Dino'."

Apakah 'Dino' dapat mengotakan janjinya terhadap arwah 'Munira'?
Apakah skrip 'Cinta dalam hati' dapat dijual oleh 'Dino'?
Apakah filem 'Cinta dalam hati' dapat diterbitkan?
Ini semua bakal terjawab bila drama ini ditayangkan.

Selain daripada perjalanan hidup Dino, Rio dan Irama, ada lagi beberapa watak lain bersama konflik menarik yang aku tak ceritakan disini, rasanya lebih elok dan seronok kalau ditonton bersama keluarga di depan kaca TV nanti. Diharap dapat menanti kemunculan cerita ini dengan penuh rasa sabar :)

Monday, February 20, 2012

Pengizinan

Dah berhari-hari aku cuba menghabiskan tulisan perjalanan aku ke Jakarta,
tapi sampai ke hari ni tak habis-habis pun...
banyak sangat benda yang aku nak cerita, nak berkongsi tentang kehidupan dan perjalanan aku disana,
tapi dalam masa yang sama aku terlalu sibuk dengan hal-hal yang lain,
hal-hal kerja dan peribadi.
Terbantut idea dan semangat aku untuk berkongsi..

Mungkin bukan seperti ini caranya.. pasti ada cara yang lain.
Atau mungkin terlalu awal untuk aku bercerita mengenai Jakarta dari pemahaman aku,
lantas Tuhan tidak mengizinkan aku memulakan langkah bercerita mengenainya.

Aku perlukan lebih masa sebelum aku bercakap atau menilai sesuatu perkara.
Aku perlu benar-benar mengenali sebelum berbicara.

Walaubagaimanapun..
Aku ingin mengucapkan Terima kasih kepada teman yang sangat baik,
yang sangat ikhlas, yang sudi menemani aku ketika aku berada disana walaupun seketika.
Terima Kasih..

Tuesday, February 14, 2012

Nikmat Hidup

Rabu minggu lepas aku rasa sangat bosan, teramat bosan.
Berjalan, berkeliaran bagai saka tak bertuan dalam kota lumpur.
Tapi masih juga tetap rasa bosan.

Apa yang ada di Kota Lumpur pada hari-hari cuti aku?
tak ada apa-apa...

Hari berikutnya, Khamis..
pooommm!!!
aku dah berada di Jakarta, Indonesia.
Huh! macam ada pintu 'doraemon' je rasanya.

Aku memang selalu macam tu, suka merayau sorang-sorang bila rasa bosan.
kali ini perasaan bosan membawa aku pergi jauh ke Indonesia.
Sebelum ni aku pernah ke Thailand, Penang, perak, Pahang, Terengganu
dan Gunung Ledang.
Pergi seorang dengan pick-up truck aku,
pun sebab rasa bosan.

Jauh betul aku berjalan bila rasa bosan eh?
tapi itulah yang aku selalu buat, itulah cara aku menghadap rasa bosan aku.
Itulah aku.

Banyak benda dan perkara yang bagus aku boleh dapat bila setiap kali aku buat kerja gila macam tu.
Macam-macam pengalaman aku hadap di tempat orang.
Bagus untuk pelajaran hidup.

Perjalanan aku bukan setakat melihat permandangan dan tempat orang semata.
Perjalanan aku adalah memahami tentang sifat kehidupan, dan masyarakat.

Kita akan lebih menghargai apa yang kita ada pada masa sekarang bila kita kerap melihat dan menghadap kepayahan.
Hanya itu yang selalu buat kita menghargai setiap saat, setiap minit dan setiap jam yang berlalu.

Monday, February 6, 2012

Sedar...

Bila duduk sorang-sorang macam ni aku selalu terkenang, mengimbas masa-masa silam aku,
susah payah aku menempuh hari-hari di kota Lumpur seorang diri semata-mata nak mencari rezeki.

Daripada  zaman aku cuci pinggan kat mamak stall, kerja nite club, kerja restoran, kerja hotel sehinggalah aku berada ditahap ni. Walaupun bukan satu tahap yang bagus, tahap yang boleh dibanggakan lagi, tapi sekurang-kurangnya aku telah merubah diri dan jalan hidup aku dari satu tahap ke tahap yang lain. Aku selalu macam tu, mengenang nasib badan dan mushabah diri.

Dari budak kampung yang buat kerja part time cuci kereta, kerja pasar, kerja buruh, aku berhijrah ke kota Lumpur untuk merubah hidup dan keluarga aku.
Ye... aku berubah, sekurang-kurangnya sekarang keluarga mampu tersenyum atas perubahan yang telah  aku lakukan.

Aku bukannya tahu yang aku pernah ada sedara-mara di KL masa mula-mula sampai kat sini dulu,
dan aku pun tak pernah nak menyusahkan dia orang untuk tanya dan ambil tahu dimana dia orang berada kalau dia orang ada kat sini sekalipun.
Bagi aku.. bila aku menjejakkan kaki aku di kota lumpur ini, aku sendiri yang harus mencorakkan kehidupan aku, aku sendiri yang kena pilih untuk jadi apa yang aku mahu dalam hidup aku.
Ini ruang hidup aku, dan aku kena berdikari untuk mencari dan menjadi yang terbaik.
Maka, oleh kerana ada pemahaman yang macam tu dalam benak kepala aku, itu yang 'end up' aku tidur dalam masjid masa mula-mula sampai kat sini dulu :)

Aku selalu sedar..., aku selalu mengenang perjalanan-perjalanan aku di kota lumpur.
Aku selalu bersyukur sebab tuhan tak terlepas pandang pengorbanan, perbuatan dan amalan aku,
dan sampai sekarang pun.. aku tak pernah lupa dan sedar tentang asal usul aku.
Syukur Alhamdulillah...

Orang boleh bercakap atau membuat apa saja kesimpulan yang negatif pasal diri aku,
hakikatnya, mereka yang bercakap pasal aku tu tak tahu.., mereka tak kenal pun siapa diri aku yang sebenarnya.
Mereka bukan sahabat mahupun keluarga aku, tapi mereka bercakap mengenai aku seolah-olah mereka mengenali rapat diri aku. Mereka sekadar mengenali dari pandangan mata kasar, dan juga perkhabaran yang datang dari mulut ke mulut.
Tak mengapa... aku maafkan kamu.

Aku tak minta semua orang untuk tahu pasal diri dan karakter aku,
kerana ini adalah lukisan dan tulisan hidup dari tuhan terhadap aku,
Ini adalah antara aku dengan-Nya.
Jadi.. biarlah mereka yang lain terus berkata apa saja yang mereka mahu,
dan biarlah 'Dia' yang satu, tahu tentang kebenarannya.

Dengan manusia..,
aku jalankan tanggungjawab aku sebagai seorang manusia.
Cuma apa yang aku perlukan adalah, rasa hormat terhadap pendirian, pemahaman dan perjalanan hidup aku sebagai manusia daripada manusia yang lain.
Tak kiralah samada kita mengenali antara satu sama lain ataupun tidak, sifat menghormati itu adalah sifat yang terpuji disisi  Allah SWT.
Beringatlah sementara kita semua masih berpijak dibumi-Nya..
Kita kena selalu sedar siapa diri kita...

Pulang..

Habis sudah penggambaran 'Cinta si tukang kasut' di Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
6 hari aku bermastautin kat sana dan sekarang dah berada di kota lumpur.
Rasa kosong pula bila dah sampai sini.., tak tau nak buat apa selain dari 'editing' gambar-gambar yang aku sempat 'snap' masa kat sana.

Nak keluar dengan kawan-kawan tapi badan rasa letih, duduk rumah ajelah...
tapi masih rasa kosong..
Aku gila bekerja rasanya.

Friday, February 3, 2012

"Pembikinan" Kisah Hati - Alyah

Saja aku nak tolong promote kerja kawan-kawan. Hasil kerja Ghaz abu Bakar.
Enjoy!

Wednesday, February 1, 2012

Penakut

Sambil tengah menunggu ni aku saja buka laptop, layan dan hayati lagu Yuna 'Penakut'.
Memang sedap didengar lagu ni, kena pula duduk kat rumah tengah sawah.. berangin.. hmm.. 
dah berapa kali aku repeat lagu ni aku pun tak ingat, tapi aku masih mendengar.
Tiba-tiba aku perasan lirik dia, aku terus... aik..?? apakah?



Tuesday, January 31, 2012

'Cinta si tukang kasut'

Hari ni baru mula shooting telemovie terbaru aku, 'Cinta si tukang kasut'. Berlakon dengan Ayu Raudah,
rasa macam dah lama tak jumpa dia.. makin berseri-seri muka dia lepas kahwin ni eh.. semoga berkekalan ke akhir hayat..

Penggambaran seluruh cerita ni akan dijalankan di kawasan Tanjung karang, Kuala Selangor. Jadi aku akan bertapak kat sini dalam masa 5-6 hari mcm tu.
Bila duduk kat sini terus teringat 'Adam spot' dengan rumah 'Haji Hassan' dlm 'Nur Kasih',
aku ingat esok kalau ada masa nak singgah sana sekejaplah. Rindu dgn 'mak'.

Telemovie 'Cinta si tukang kasut' ni akan ditayangkan di Astro.
Saluran mana? tarikh keluar? itu aku tak pasti lagi, nanti kalau dah dapat 'confirmation' aku akan bagitau kat sini.

Ok, aku nak mandi sekarang.

kaku Aku

Kau takut pada bayang-bayang hitam diri kau, kau seksa aku.
kau tak hargai setiap apa yang aku lakukan untuk kau, kau fitnah aku.
kau tutup kesilapan diri kau, kau cari kesilapan aku.

Bukan sekali aku hadap..
tapi aku teruskan juga demi rasa cinta, kasih dan sayang,
dan kau.. tetap kau, kau tak berubah, kau tak sedar..
jangan bodohi aku lagi..

Jangan bercakap pasal maruah kalau kau sendiri tak tahu menghargai diri,
Jangan bercakap pasal harga diri kalau maruah kau serahkan pada siapa saja sesuka hati.

kau harus sedar,
kau patut sedar,
untuk diri kau sendiri.

Aku?
aku tahu menjaga diri,
biarkan aku.

Monday, January 30, 2012

AJL 26

Sebenarnya tak ada siapa pun tahu yang aku akan muncul sebagai 'cameo' dalam persembahan Alyah pada AJL 26 yang baru berlangsung semalam.

Orang-orang di Media Prima, 'crew' teknikal TV3 yang menjayakan AJL 26 malam tu pun tak tahu yang aku akan muncul dalam persembahan tu,  cuma yang tahu pasal kewujudan aku adalah Alyah sendiri, tenaga kerja dan kawan-kawan dia je. 
Ini semua gara-gara Alyah sendiri, dia sendiri yang minta kami semua merahsiakan perkara ni.., nak buat 'surprise' katanya, nak aku keluar masa minit terakhir..

Tahniah kepada Alyah kerana memenangi kategori 'persembahan terbaik' (kisah Hati), pemenang-pemenang AJL 26, Hafiz (Awan Nano), Ning Baizura, Jaclyn Victor, Shila Hamzah (Beribu Sesalan), Faizal Tahir (Karma) dan semua peserta-peserta yang telah berjaya sampai ke peringkat akhir. 
Tahniah juga buat pihak Media Prima kerana berjaya melangsungkan AJL 26 dengan suksess sekali.

Apa-apa pun aku nak ucapkan terima kasih kepada Alyah kerana sudi menjemput aku untuk bersama-sama dalam persembahan beliau, dan juga penaja pakaian aku pada malam tu, butik CANALI yang bertempat di Pavillion Kuala Lumpur. Terima Kasih.





Thursday, January 26, 2012

'Runtuhnya Sebuah Dosa'

'Runtuhnya sebuah dosa' telemovie terbaru aku baru je habis penggambaran semalam, kak Erma cakap cerita ni ditayang pada malam 'Maulud Nabi' 5hb nanti, jadi aku rasa ada baiknya kalau  aku 'war-war' kan pada semua disini.

Penggambaran telemovie ni bermula 18 January yg lepas, lokasi penggambaran kebanyakkan di  sekitar KL, cuma satu hari je kami di Melaka, buat 'scene' hospital.
"Perghhh... buat 'scene' hospital sampai ke Melaka ah?" tapi itulah hakikatnya, terpaksa kesana semata-mata untuk menggunakan ruang 'ICU'.
Sebenarnya bukan senang nak dapat pakai ruang 'ICU' untuk penggambaran dimana-mana hospital dalam Malaysia ni, tapi alhamdulillah kami telah mendapat kerjasama yang baik dari pihak hospital  di sana.
Terima kasih buat PUTRA SPECIALIST CENTRE MELAKA, semoga dakwah kita dalam telemovie ini mendapat berkat.

Telemovie 'Runtuhnya sebuah dosa' arahan Erma fatima ini mengisahkan tentang masyarakat melayu moden yang semakin hilang pegangan dan kepercayaan dalam agama Islam, selalu membelakangkan hal-hal agama dan Al-quran dalam mengecapi kebendaan dan kemewahan dalam hidup didunia.
Apabila kecelakaan menimpa, sesetengah masyarakat melayu masih tidak menyedari kesilapan yang telah dilakukan terhadap Allah SWT dan terus melakukan kesilapan demi kesilapan.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai cerita ini, jangan lupa untuk menonton pada malam 'Maulidur Rasul' 5 FEB 2012 (sabtu) , di TV3 nanti.

Antara pelakon lain yg terlibat selain dari aku adalah, Dato' Rahim Razali, Dato' Aziz Singgah, Azizah Mahzan, Tiz Zaqyah dan Beto Kusyairi.

Diharap dengan penayangan telemovie ini nanti dapat memberi serba sedikit pengajaran dan pelajaran buat kita semua dalam meneruskan hidup di bumi tuhan.

Salam....

Dato' Rahim Razali sebagai 'Mansur'


Friday, January 20, 2012

Kronik

Terkebil-kebil mata aku pandang lampu bulat sebesar kepala gajah dalam bilik tidur, sepatutnya aku dah tidur sebab pagi nanti ada kerja, tapi penyakit tak boleh tidur aku makin mengganas semenjak dua ni, lebih-lebih lagi lepas habis penggambaran filem 'TyIcKooUnS'.

Semalam pun aku tidur pukul 6am, tapi nasib baik tak ada kerja yang nak dibuat pada sebelah pagi, itu pun pukul 10am aku dah bangun... haish... masalah....
Tidur lewat bangun awal, aku tahu itu memang tak bagus untuk kesihatan fizikal dan juga mental, siapa-siapa yang mengalami masalah tidur ni mesti akan terjebak dengan penyakit-penyakit lain, 'sewel' adalah yang paling cerah peluangnya..
yelah... bila tidur tak cukup emosi mesti terganggu, boleh jadi terlalu sensitif dan pemarah, bila mood kacau bilau maka 'sewel' lah jadinya..! ah.. bahaya ni..!

Macam-macam kaedah dan teori dah aku praktikkan untuk dapatkan tidur yang normal, dari baca buku, kira kambing biri-biri, beli produk herba, minum susu, minum air coklat, naik motor pusing-pusing dalam 'town' semata-mata nak bagi badan letih dan mengantuk, alih-alih... pukul 6am juga baru tidur... kalau masa tak bekerja tu takpe lah juga, bole juga bangun lewat, tapi kalau tengah bekerja mcm ni?
ahh... kronik....

Thursday, January 19, 2012

'TyIcKooUnS'


Setelah sebulan lebih  berhempas pulas memerah keringat dan otak, akhirnya watak manan dan filem 'TyIcKooUnS' telah tamat utk sesi penggambaran. Sekarang cuma yang tinggal adalah proses-proses seterusnya, kerja-kerja studio dari segi editing, dubbing dan sebagainya.

Kalau nak dikirakan hari yang aku terlibat dalam pembikinan cerita ni,  memanglah tak kesemuanya hari yang aku ada, tapi bila setiap kali munculnya hari dan penampilan aku dgn Bront, pastinya ia akan melibatkan babak-babak meroyan (fighting), letihnya seolah mcm sebulan lebih hanya kami yg bekerja, ini 'kerja keras' namanya.

Project 'TyIcKooUnS' ni sekali lagi menggandingkan aku dengan Bront Palarae, orang yang aku anggap sebagai abang aku sejak dari awal pembabitan aku dalam seni lakon.
Kali pertama kami berganding adalah untuk filem'Anak Halal' arahan Osman Ali pada tahun 2006, dan drama bersiri 26 episode TV3 yg bertajuk 'SinDarEla' arahan Shahrul Ezad Mohamedin tahun 2008.
Selepas drama bersiri tu aku dgn Bront dipertemukan sekali lagi dalam filem abang Osman Ali yg bertajuk 'Jiwa Taiko' (sebelum ni 'BaraJiwa') pada tahun 2010, dan yg terbaru... aku berganding lagi dengan Bront dalam 'TyIcKooUnS' 2011. 

Rasa mcm dah banyak project aku bersama Bront, dan ye... aku semakin rasa selesa berlakon dengan dia, lagipun kalau tak berlakon bersama, kami masih tetap kerap berjumpa, tempoh berkawan dengan bront pun dah seusia dengan pembabitan aku dalam dunia lakonan ni. Tapi dalam selesa tu aku goyang jugak kalau ada adegan-adengan 'fighting' dengan mamat ni, dia ni jenis terlebih method, pernah tumbuk muka aku sampai pecah bibir dlm 'SirDarEla'. Binawe lu!



Selain dari aku dan Bront, antara pelakon lain yang terlibat dalam 'TyIcKooUnS' adalah Aaron Aziz, Wan Hanafisu, Kamarul Hj Yussof (gagak hitam), Adam Corrie, Usop Wilcha, Ihlal Azman, Aman Graseka, Dato Malek Nor, Anzalna, Shuib (sepah), Taukeh (raja lawak) dan ramai lagi.

'TyIcKooUnS' yang diterbitkan oleh WORLDWIDE FAR EAST SDN. BHD ini menceritakan tentang perebutan kuasa dan takhta, penipuan, penyelewengan dan keganasan yang berlaku disebuah pekan yg bernama 'Ciam Pang'. kawasan itu memang tidak wujud dalam peta Malaysia atau peta dunia, tetapi dicipta khas untuk cerita ini. Sebuah filem yg penuh dengan mesej dan perkara-perkara sinonim yang berlaku dalam kehidupan seharian kita pada masa kini.

Aku 'respect' dgn usaha keras pihak penerbit, pengarah, penulis, pelakon-pelakon dan semua krew teknikal yang terlibat dalam menghasilkan produk ini. Semuanya telah berusaha untuk menghasilkan yang terbaik. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang 'TyIcKooUnS', nantikan kemunculan filem ini di pawagam pada hujung tahun nanti. Insyaallah.. Peace!

Wan Hanafisu sebagai 'Cikgu Gadak'