Tuesday, January 31, 2012

'Cinta si tukang kasut'

Hari ni baru mula shooting telemovie terbaru aku, 'Cinta si tukang kasut'. Berlakon dengan Ayu Raudah,
rasa macam dah lama tak jumpa dia.. makin berseri-seri muka dia lepas kahwin ni eh.. semoga berkekalan ke akhir hayat..

Penggambaran seluruh cerita ni akan dijalankan di kawasan Tanjung karang, Kuala Selangor. Jadi aku akan bertapak kat sini dalam masa 5-6 hari mcm tu.
Bila duduk kat sini terus teringat 'Adam spot' dengan rumah 'Haji Hassan' dlm 'Nur Kasih',
aku ingat esok kalau ada masa nak singgah sana sekejaplah. Rindu dgn 'mak'.

Telemovie 'Cinta si tukang kasut' ni akan ditayangkan di Astro.
Saluran mana? tarikh keluar? itu aku tak pasti lagi, nanti kalau dah dapat 'confirmation' aku akan bagitau kat sini.

Ok, aku nak mandi sekarang.

kaku Aku

Kau takut pada bayang-bayang hitam diri kau, kau seksa aku.
kau tak hargai setiap apa yang aku lakukan untuk kau, kau fitnah aku.
kau tutup kesilapan diri kau, kau cari kesilapan aku.

Bukan sekali aku hadap..
tapi aku teruskan juga demi rasa cinta, kasih dan sayang,
dan kau.. tetap kau, kau tak berubah, kau tak sedar..
jangan bodohi aku lagi..

Jangan bercakap pasal maruah kalau kau sendiri tak tahu menghargai diri,
Jangan bercakap pasal harga diri kalau maruah kau serahkan pada siapa saja sesuka hati.

kau harus sedar,
kau patut sedar,
untuk diri kau sendiri.

Aku?
aku tahu menjaga diri,
biarkan aku.

Monday, January 30, 2012

AJL 26

Sebenarnya tak ada siapa pun tahu yang aku akan muncul sebagai 'cameo' dalam persembahan Alyah pada AJL 26 yang baru berlangsung semalam.

Orang-orang di Media Prima, 'crew' teknikal TV3 yang menjayakan AJL 26 malam tu pun tak tahu yang aku akan muncul dalam persembahan tu,  cuma yang tahu pasal kewujudan aku adalah Alyah sendiri, tenaga kerja dan kawan-kawan dia je. 
Ini semua gara-gara Alyah sendiri, dia sendiri yang minta kami semua merahsiakan perkara ni.., nak buat 'surprise' katanya, nak aku keluar masa minit terakhir..

Tahniah kepada Alyah kerana memenangi kategori 'persembahan terbaik' (kisah Hati), pemenang-pemenang AJL 26, Hafiz (Awan Nano), Ning Baizura, Jaclyn Victor, Shila Hamzah (Beribu Sesalan), Faizal Tahir (Karma) dan semua peserta-peserta yang telah berjaya sampai ke peringkat akhir. 
Tahniah juga buat pihak Media Prima kerana berjaya melangsungkan AJL 26 dengan suksess sekali.

Apa-apa pun aku nak ucapkan terima kasih kepada Alyah kerana sudi menjemput aku untuk bersama-sama dalam persembahan beliau, dan juga penaja pakaian aku pada malam tu, butik CANALI yang bertempat di Pavillion Kuala Lumpur. Terima Kasih.





Thursday, January 26, 2012

'Runtuhnya Sebuah Dosa'

'Runtuhnya sebuah dosa' telemovie terbaru aku baru je habis penggambaran semalam, kak Erma cakap cerita ni ditayang pada malam 'Maulud Nabi' 5hb nanti, jadi aku rasa ada baiknya kalau  aku 'war-war' kan pada semua disini.

Penggambaran telemovie ni bermula 18 January yg lepas, lokasi penggambaran kebanyakkan di  sekitar KL, cuma satu hari je kami di Melaka, buat 'scene' hospital.
"Perghhh... buat 'scene' hospital sampai ke Melaka ah?" tapi itulah hakikatnya, terpaksa kesana semata-mata untuk menggunakan ruang 'ICU'.
Sebenarnya bukan senang nak dapat pakai ruang 'ICU' untuk penggambaran dimana-mana hospital dalam Malaysia ni, tapi alhamdulillah kami telah mendapat kerjasama yang baik dari pihak hospital  di sana.
Terima kasih buat PUTRA SPECIALIST CENTRE MELAKA, semoga dakwah kita dalam telemovie ini mendapat berkat.

Telemovie 'Runtuhnya sebuah dosa' arahan Erma fatima ini mengisahkan tentang masyarakat melayu moden yang semakin hilang pegangan dan kepercayaan dalam agama Islam, selalu membelakangkan hal-hal agama dan Al-quran dalam mengecapi kebendaan dan kemewahan dalam hidup didunia.
Apabila kecelakaan menimpa, sesetengah masyarakat melayu masih tidak menyedari kesilapan yang telah dilakukan terhadap Allah SWT dan terus melakukan kesilapan demi kesilapan.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai cerita ini, jangan lupa untuk menonton pada malam 'Maulidur Rasul' 5 FEB 2012 (sabtu) , di TV3 nanti.

Antara pelakon lain yg terlibat selain dari aku adalah, Dato' Rahim Razali, Dato' Aziz Singgah, Azizah Mahzan, Tiz Zaqyah dan Beto Kusyairi.

Diharap dengan penayangan telemovie ini nanti dapat memberi serba sedikit pengajaran dan pelajaran buat kita semua dalam meneruskan hidup di bumi tuhan.

Salam....

Dato' Rahim Razali sebagai 'Mansur'


Friday, January 20, 2012

Kronik

Terkebil-kebil mata aku pandang lampu bulat sebesar kepala gajah dalam bilik tidur, sepatutnya aku dah tidur sebab pagi nanti ada kerja, tapi penyakit tak boleh tidur aku makin mengganas semenjak dua ni, lebih-lebih lagi lepas habis penggambaran filem 'TyIcKooUnS'.

Semalam pun aku tidur pukul 6am, tapi nasib baik tak ada kerja yang nak dibuat pada sebelah pagi, itu pun pukul 10am aku dah bangun... haish... masalah....
Tidur lewat bangun awal, aku tahu itu memang tak bagus untuk kesihatan fizikal dan juga mental, siapa-siapa yang mengalami masalah tidur ni mesti akan terjebak dengan penyakit-penyakit lain, 'sewel' adalah yang paling cerah peluangnya..
yelah... bila tidur tak cukup emosi mesti terganggu, boleh jadi terlalu sensitif dan pemarah, bila mood kacau bilau maka 'sewel' lah jadinya..! ah.. bahaya ni..!

Macam-macam kaedah dan teori dah aku praktikkan untuk dapatkan tidur yang normal, dari baca buku, kira kambing biri-biri, beli produk herba, minum susu, minum air coklat, naik motor pusing-pusing dalam 'town' semata-mata nak bagi badan letih dan mengantuk, alih-alih... pukul 6am juga baru tidur... kalau masa tak bekerja tu takpe lah juga, bole juga bangun lewat, tapi kalau tengah bekerja mcm ni?
ahh... kronik....

Thursday, January 19, 2012

'TyIcKooUnS'


Setelah sebulan lebih  berhempas pulas memerah keringat dan otak, akhirnya watak manan dan filem 'TyIcKooUnS' telah tamat utk sesi penggambaran. Sekarang cuma yang tinggal adalah proses-proses seterusnya, kerja-kerja studio dari segi editing, dubbing dan sebagainya.

Kalau nak dikirakan hari yang aku terlibat dalam pembikinan cerita ni,  memanglah tak kesemuanya hari yang aku ada, tapi bila setiap kali munculnya hari dan penampilan aku dgn Bront, pastinya ia akan melibatkan babak-babak meroyan (fighting), letihnya seolah mcm sebulan lebih hanya kami yg bekerja, ini 'kerja keras' namanya.

Project 'TyIcKooUnS' ni sekali lagi menggandingkan aku dengan Bront Palarae, orang yang aku anggap sebagai abang aku sejak dari awal pembabitan aku dalam seni lakon.
Kali pertama kami berganding adalah untuk filem'Anak Halal' arahan Osman Ali pada tahun 2006, dan drama bersiri 26 episode TV3 yg bertajuk 'SinDarEla' arahan Shahrul Ezad Mohamedin tahun 2008.
Selepas drama bersiri tu aku dgn Bront dipertemukan sekali lagi dalam filem abang Osman Ali yg bertajuk 'Jiwa Taiko' (sebelum ni 'BaraJiwa') pada tahun 2010, dan yg terbaru... aku berganding lagi dengan Bront dalam 'TyIcKooUnS' 2011. 

Rasa mcm dah banyak project aku bersama Bront, dan ye... aku semakin rasa selesa berlakon dengan dia, lagipun kalau tak berlakon bersama, kami masih tetap kerap berjumpa, tempoh berkawan dengan bront pun dah seusia dengan pembabitan aku dalam dunia lakonan ni. Tapi dalam selesa tu aku goyang jugak kalau ada adegan-adengan 'fighting' dengan mamat ni, dia ni jenis terlebih method, pernah tumbuk muka aku sampai pecah bibir dlm 'SirDarEla'. Binawe lu!



Selain dari aku dan Bront, antara pelakon lain yang terlibat dalam 'TyIcKooUnS' adalah Aaron Aziz, Wan Hanafisu, Kamarul Hj Yussof (gagak hitam), Adam Corrie, Usop Wilcha, Ihlal Azman, Aman Graseka, Dato Malek Nor, Anzalna, Shuib (sepah), Taukeh (raja lawak) dan ramai lagi.

'TyIcKooUnS' yang diterbitkan oleh WORLDWIDE FAR EAST SDN. BHD ini menceritakan tentang perebutan kuasa dan takhta, penipuan, penyelewengan dan keganasan yang berlaku disebuah pekan yg bernama 'Ciam Pang'. kawasan itu memang tidak wujud dalam peta Malaysia atau peta dunia, tetapi dicipta khas untuk cerita ini. Sebuah filem yg penuh dengan mesej dan perkara-perkara sinonim yang berlaku dalam kehidupan seharian kita pada masa kini.

Aku 'respect' dgn usaha keras pihak penerbit, pengarah, penulis, pelakon-pelakon dan semua krew teknikal yang terlibat dalam menghasilkan produk ini. Semuanya telah berusaha untuk menghasilkan yang terbaik. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang 'TyIcKooUnS', nantikan kemunculan filem ini di pawagam pada hujung tahun nanti. Insyaallah.. Peace!

Wan Hanafisu sebagai 'Cikgu Gadak'