Saturday, March 31, 2012

Misi selesai.

Maka tamatlah sepenuhnya penggambaran drama episode yang bertajuk 'Cinta dalam hati'...
Setelah hampir 4 minggu berhempas pulas mengabdikan watak 'Dino Abadi' dalam diri,
sekarang aku bebas,
bebas sepenuhnya.
Fuhh... lega!
Baru rasa macam boleh bernafas sedikit..

Aku tak nafi, memang penggambaran kali ini dilakukan dengan secara tergesa-gesa,
berikutan jadual setiap pelakon dan semua tenaga kerja yang terlibat telah padat untuk bulan yang berikutnya.
Maka itu, kami perlu menyelesaikan projek ini mengikut waktu yang telah dihadkan,
iaitu pada penghujung Mac.
Begitulah nasib kais pagi makan pagi.

Drama ini telah melibatkan banyak lokasi, dan yang jauh-jauh ratanya,
dari Kuala Lumpur, Hulu Langat, Port Dickson sehinggalah ia membawa kami semua ke kampung Sungai Rambai di Melaka.
Itu sudah cukup untuk membuatkan kami semua lelah mengejar masa,
ditambah pula dengan cuaca yang sering tidak menentu buat ketiga-tiga negeri ini,
menyebabkan risau dibenak kepala selalu menular, takut jikalau tidak dapat menepati masa yang telah termaktub.

Namun..
Alhamdulillah.. kami telah berjaya menyiapkan 'Cinta dalam hati' mengikut seperti yang dirancang,
tapi bila aku mengenang kembali cara kami semua bekerja  didalam projek ini,
aku boleh tersenyum seorang diri bila teringatkan keletah setiap dari kami yang terlibat dalam soal mengejar masa.
ada manis, ada pahit.
ianya umpama seperti sedang menyelesaikan misi didalam 'Amazing Race' show.
heh..
Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan baik dan lancar pada proses yang terakhir untuk drama ini nanti.

Friday, March 16, 2012

Masa

Rasa macam dah lama sangat aku tak update blog ni, berminggu-minggu juga la rasanya..
nak buat macam mana, aku sibuk sangat.
Sibuk dengan drama 'Cinta dalam hati', sibuk menyiapkan fizikal untuk projek filem yang akan datang pertengahan bulan april nanti. Hmm..

Masa aku sangat terhad buat masa sekarang, lepas habis 'shooting' langsung terus ke gym, walaupun dalam keadaan kaki yang terhencut-hencut, terseliuh.
Lepas 'workout' di gym, balik rumah terus tertidur, letih sangat.

Memang sepatutnya aku berehat saja di rumah lepas waktu penggambaran bila sakit-sakit macam ni,
tapi bila mengenangkan tanggungjawab untuk watak yang kena bawa bulan depan,
rasa bersalah pula kalau lebih memikirkan sakit daripada tanggungjawab.

Memang aku dah dididik dengan cara macam ni dari kecil,
orang tua aku pun selalu pesan "jangan dimanjakan sangat kesakitan..",
Alhamdulillah.. aku pun memang selalu pratikkan pesanan orang tua aku tu, dan hasilnya...
Tuhan itu maha adil, ada bayaran dalam setiap pengorbanan, aku percaya itu tapi tidak selalu mengharapkan.

Rasa macam dah lama sangat tak balik ke Melaka, rindu dengan bau kampung halaman.
Mak pun dah berkali-kali tanya "bila nak balik?", hmm....

Friday, March 2, 2012

Cinta dalam Hati



'Cinta dalam hati...',
Projek terbaru dan drama bersiri aku yang pertama untuk tahun 2012,
drama ini akan ditayangkan di saluran RTM.

Rasa macam dah lama sangat tak bekerjasama dengan RTM.
Kali terakhir aku menyumbangkan tenaga kerja bersama mereka adalah pada awal tahun 2011, itu pun sekadar drama cereka (Telemovie).
Kali ini aku berpeluang untuk terus menyumbangkan karya dengan mereka,
dan pada kali ini juga untuk satu durasi yang agak panjang, 13 episode.

Aku suka naskah ini,
aku suka pada jalan cerita, konflik dan setiap watak yang ada didalamnya.
Walaupun pada awalnya aku merasakan bahawa naskah ini cuma biasa-biasa saja pada ketika membaca sipnosis, tapi hakikat yang sebenar..
Setelah selesai membaca dan meneliti setiap babak dan helaian episode nya,
aku merasakan sesuatu tentang naskah ini.
Ianya lain.

Ye... ini mungkin cerita biasa, sama seperti drama-drama yang sedia ada di kaca TV.
Apa lagi yang boleh kita jangkakan daripada drama-drama melayu?
membikin drama TV tidak seperti menghasilkan filem-filem seni.
Tapi 'lain' yang aku maksudkan dari naskah ini adalah dari segi pengisian dan kekuatan jalan ceritanya sebagai sebuah drama TV.

Ketika aku membaca penulisan dan penceritaan Mira Mustafa didalam naskah 'Nur Kasih' (series),
perasaan dan hati aku sering dibuai dengan setiap permainan dan babak-babak yang dicipta Mira,
penulisannya berjaya mencuri tumpuan aku untuk terus mendalami dan menghayati setiap babak,
hingga membuatkan aku terperangkap didalam roh dan emosi watak 'Adam hassan' dan juga cerita itu sendiri.
Terdetik dalam hati aku pada ketika itu mengatakan bahawa naskah itu adalah 'sesuatu',
dan aku percaya ia akan menjadi 'sesuatu' juga.

Sekarang aku merasakan perkara yang sama,
'Cinta dalam hati' membuatkan aku tidak sabar untuk menjadi 'Dino Abadi' setiap hari,
aku menjadi rindu pada watak itu, aku kasihankan watak itu.
Ah.. gila!


Aku bukan setakat tidak sabar untuk menjadi 'Dino Abadi',
malah aku juga tidak sabar untuk menjalani hari disamping watak-watak yang lain.
Menghadap situasi dan masalah dari setiap watak yang wujud.

"Dino, seorang penulis skrip yang menetap jauh dari bandar, tidak boleh melupakan bekas kekasihnya arwah 'Munira'. 'Munira' meninggal dunia akibat barah paru-paru.
'Dino' mahu menunaikan janjinya terhadap 'Munira' walaupun wanita itu telah tiada.
Kematian 'Munira' meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri 'Dino'.

'Mak Yam', ibu kepada arwah 'Munira' amat terharu dan serba salah terhadap 'Dino',
'Dino' sanggup menghambakan diri untuk menjaga 'Mak Yam' setelah pemergian 'Munira',
'Dino' bekerja keras dengan membantu menguruskan tanah kebun dan sawah milik 'Mak Yam' untuk wang perbelanjaan 'Mak Yam'.
Dia juga sanggup berhabis duit untuk mengubati penyakit dan menjaga 'Mak Yam'.
'Mak Yam' merasakan perbuatan 'Dino' itu umpama menyeksa diri 'Dino' sendiri.

'Dino' telah menulis sebuah skrip yang berjudul 'Cinta dalam hati',
skrip yang mengisahkan perjalanan hidupnya bersama arwah 'Munira',
dia juga telah berjanji kepada arwah 'Munira' untuk membeli sebuah mesin 'Hemodialisis' untuk 'Mak Yam' dan juga orang-orang kampung.

'Cinta dalam hati' adalah janji 'Dino' kepada arwah 'Munira'.
'Cinta dalam hati' adalah kisah hidup antara 'Dino' dan 'Munira',
'Cinta dalam hati' adalah harapan 'Dino' terhadap orang-orang kampung.

Akan tetapi, seorang penerbit muda bernama 'Rio' telah mengambil kesempatan keatas skrip yang ditulis oleh 'Dino'.
'Rio' telah menggunakan 'Cinta dalam hati' untuk kepentingan dirinya sendiri.
'Rio' juga menjadikan hidup 'Dino' bertambah tak keruan dgn ugutannya apabila seorang pelakon popular bernama 'Irama', wanita yang dicintai 'Rio' mula jatuh hati kepada 'Dino'."

Apakah 'Dino' dapat mengotakan janjinya terhadap arwah 'Munira'?
Apakah skrip 'Cinta dalam hati' dapat dijual oleh 'Dino'?
Apakah filem 'Cinta dalam hati' dapat diterbitkan?
Ini semua bakal terjawab bila drama ini ditayangkan.

Selain daripada perjalanan hidup Dino, Rio dan Irama, ada lagi beberapa watak lain bersama konflik menarik yang aku tak ceritakan disini, rasanya lebih elok dan seronok kalau ditonton bersama keluarga di depan kaca TV nanti. Diharap dapat menanti kemunculan cerita ini dengan penuh rasa sabar :)